Search This Blog

Tuesday 13 November 2012

PEMBELAJARAN MODEL ASSURE



Model ASSURE
APLIKASI DALAM RANCANGAN PENGAJARAN


Pengenalan

Saya telah berkhidmat selama 18 tahun dalam bidang pendidikan dan pernah bertugas di 3 buah sekolah yang mempunyai persekitaran yang berbeza. Sekarang saya mengajar di sekolah gred B yang terletak di kawasan luar bandar. Sekolah saya mempunyai kemudahan-kemudahan yang cukup bagi proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Seramai 33 orang guru telah berkhidmat di sekolah ini dan jumlah keseluruhan murid di sekolah saya ialah 331 orang termasuk murid prasekolah.

Di sekolah,  saya mengajar mata muridan Bahasa Malaysia di kelas 2 cerdik. Terdapat 30 orang murid daripada pelbagai aras kebolehan dan pelbagai kaum. Hasil ujian dianogsis didapati sebahagian besar murid belum dapat  menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Bagi membantu murid-murid saya menguasai kemahiran membaca dan menulis, saya memilih Model ASSURE kerana model tersebut sesuai untuk digunakan dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran. Model ASSURE merupakan sebuah model perancangan mengajar berasaskan bilik darjah (Yusuf Hashim, 1997).

Bagi melahirkan suasana pembelajaran yang berkesan, guru digalakkan merancang rancangan mengajar secara sistematik supaya teknologi dan media (alat dan bahan bantu mengajar) yang digunakan benar-benar memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Sistematik bermaksud tiap-tiap langkah dalam model ini akan menerima imput daripada langkah-langkah sebelumnya dan akan memberi output kepada langkah seterisnya. Model ASSURE boleh dijadikan panduan untuk merancang penggunaan media dan teknologi dalam rancangan mengajar instruksi (Heinich, Molenda, Russell dan Smaldino, 1982, 1996).







Model ASSURE

Rancangan mengajar atau persediaan mengajar boleh didefinisikan sebagai suatu rancangan muridan yang mengandungi unsur-unsur seperti pengetahuan sedia ada murid, objektif muridan, media pengajaran, kaedah dan teknik pengajaran, set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup untuk satu atau dua waktu pengajaran. Faktor  penting yang perlu dipertimbangkan oleh guru semasa menyediakan rancangan mengajar adalah tujuan utama atau matlamat yang mahu  dicapai dari pengajaran yang hendak disampaikan serta impaknya terhadap penerimaan isi pelajaran dan pemahaman murid. Kemahiran dalam reka bentuk instruksional sangat perlu bagi guru dan pembina bahan instruksional. Ia dapat membantu guru merancang pembinaan dan penggunaan media dan kaedah yang sesuai. Model Reka Bentuk instruksional ASSURE, (Heinich, 1982) bertujuan menyediakan panduan merancang dan mengendalikan pengajaran yang memerlukan penggunaan media. Justeru itu penyesuaian ini dapat dilakukan berasaskan Model Reka Bentuk tersebut bagi memilih dan menggunakan media pengajaran secara umum.

Terdapat enam langkah penting dalam Model ASSURE yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bagi saya perancangan pengajaran yang rapi dan tersusun akan menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di mana pengajaran dan pembelajaran berlaku sebagai proses perkembangan secara berperingkat.

Berdasarkan model ASSURE, enam langkah utama adalah seperti berikut :-
A – Analyze learner (menganalisis murid)
S -  State objective (menyatakan objektif pengajaran)
S -  Select method (memilih kaedah,media dan bahan sumber pengajaran )
U – Utilize media and materials (menggunakan media dan bahan )
R – Require learner perticipation (memerlukan penglibatan murid yang aktif )
E – Evaluate and revise (menilai hasil pembelajaran dan buat penambahbaikan  )







Langkah-langkah pengajaran menggunakan  Model ASSURE

1.         Analyze learner (menganalisis murid)

Sebelum saya memulakan pengajaran, langkah pertama yang perlu saya lakukan adalah menganalisis setiap murid dalam kelas saya. Ini penting kerana melalui penganalisaan ini, saya dapat mengenali dan memahami ciri-ciri murid, tahap pengetahuan, pengalaman sedia ada dan gaya pembelajaran murid kerana setiap murid mempunyai tahap yang berbeza antara satu sama lain.

Selain daripada itu, saya juga mendapatkan maklumat murid melalui pemerhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran, temubual dengan ibu bapa/penjaga, guru kelas dan mata muridan serta rakan sebaya. Berdasarkan kepada penganalisisan dan pemerhatian saya, didapati murid-murid kelas 2 cerdik mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

1.         Emosi dan tingkahlaku
Didapati murid kelas 2 Cerdik mempunyai ciri-ciri seperti perasaan terlalu merendah diri, risau, takut, sedih, cepat bosan terhadap muridan, malas dan pasif;

2.         Sosial
Murid-murid kelas 2 Cerdik didapati, gelisah, pendiam, suka menangis dan selalu ponteng sekolah dan kurang berkeyakinan. Hasil pemerhatin juga didapati murid kelas ini kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa/penjaga di rumah dalam bidang pendidikan.

3.         Kesihatan
Hasil pemerhatian, didapati murid-murid lemah pergerakan psikokomotor, badan yang kurang sihat,  masalah penglihatan, kurang mementingkan kebersihan diri.

4.         Kesedaran belajar
Murid-murid kurang bersedia untuk belajar, kurang perbendaharaan kata dan kurang pemahaman.



5.         Pengamatan
Murid-murid tidak mangenal bentuk, saiz, warna, turutan, keliru dengan arah, tidak boleh mengingat kembali, lemah pergerakan dan tidak kreatif.

6.         Kebolehan
Hasil pemerhatian juga mendapati murid kelas 2 Cerdik ini suka melakukan aktiviti yang berkaitan dengan muzik dan nyanyian. Ini kerana mereka telah didedahkan dengan aktiviti hiburan baik di rumah mahu pun di persekitaran tempat kediaman mereka..

Melalui proses menganalisis murid-murid yang memerlukan pemulihan dan bimbingan ini, ia membantu saya untuk memilih media, teknologi dan kaedah yang sesuai dengan mereka. Dalam hal yang demikian, saya sememangnya telah sedia maklum bahawa murid saya mempunyai masalah dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis. Maka adalah lebih sesuai saya menggunakan bahan bukan cetak pada peringkat permulaan, saya akan melakukan ujian diagnostik. Ujian ini bertujuan untuk mengenal pasti zon kemahiran asas membaca yang tidak dikuasai oleh murid saya. Berdasarkan ujian ini, saya boleh mengkelaskan murid mengikut tahap kemahiran mereka. Ini bagi memudahkan saya untuk merancang pengajaran mengikut kemahiran asas mereka.

Berdasarkan analisis murid 2 Cerdik di atas, ia dapat dikelompokkan kepada tiga perkara penting iaitu;

1.         Ciri-ciri umum merupakan deskripsi umum tentang umur, tahap/tingkatan, latar belakang sosio-ekonomi dan sebagainya. Dengan mengetahui ciri-ciri ini, guru dapat menjadikannya asas dalam pemilihan bahan media. Untuk mengetahui ciri-ciri lain, guru haruslah meneliti rekod murid serta berinteraksi dengan murid secara langsung.

2.         Komoentensi khusus peringkat masuk berkait dengan pengetahuan dan kemahiran sedia ada murid tentang tajuk dan kandungan muridan. Maklumat ini diperolehi daripada ujian kemasukan dan juga interaksi bersama mereka. Aspek ini tidak boleh diperkecilkan kerana kesannya sangat besar kepada pembelajaran murid. Misalnya cara mengenal perkataan kata adjektif. Andainya ada murid yang tidak memahami lagi konsep kata adjektif, sudah pasti mereka gagal mengikuti pembelajaran. Tegasnya, guru tidak harus mengandaikan semua muridnya mempunyai pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang sama.

3.         Stail pembelajaran merujuk kepada kluster trait psikologi yang dapat menerangkan bagaimana seseorang itu menanggapi, berinteraksi dan bertindak balas dengan persekitaran. Tegasnya, stail ini akan memberi kesan yang besar kepada murid ketika mereka belajar melalui pelbagai kaedah dan media.


2.         S-State (menyatakan objektif pengajaran)

Setelah saya dapat menganalisis ciri-ciri umum murid dan mengetahui tahap penguasaan kemahiran asas membaca, langkah seterusnya ialah saya perlu menyatakan objektif pengajaran yang hendak dicapai. Objektif pembelajaran diambil daripada sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia dirancang berdasarkan Dokumen Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Ini perlu dilakukan dengan teliti kerana saya perlu melihat setiap perubahan tingkah laku yang berlaku pada murid saya sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Saya perlu menyatakan objektif pengajaran yang jelas, boleh dilihat perubahan tingkah laku dan dapat dicapai.

Sebagai contoh, sebelum pengajaran bermula saya telah menetapkan objektif pengajaran bahawa murid dapat membina dan mengeja secara lisan lima perkatan kata adjektif dengan betul.

Saya perlu memilih perkataan tersebut berdasarkan pengetahuan sedia ada dan persekitaran mereka. Ini bagi memudahkan meraka untuk membina dan mengeja perkataan tersebut. Selain daripada itu, saya menyediakan bahan bantu mengajar seperti kad imbasan bergambar dan  kad kata adjektif.

Dalam langkah ini, harus diingat bahawa hasil pembelajaran bukan bertujuan menyekat murid untuk belajar, Cuma ia merupakan tahap yang minimum tentang apakah yang sepatutnya dipelajari oleh mruid daripada pengajaran yang dilakukan. Seperkara lagi, apa yang dipelajari itu bukan perkara lama, tetapi sesuatu yang baru kerana pembelajaran itu sendiri bermakna perubahan atau pembaharuan. Ini bermakna hasil pembelajaran harus difokuskan kepada apakah pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baru untuk dipelajari.


3.         S – Select Method ( memilih kaedah, media dan bahan sumber pengajaran)

Bagi langkah ketiga, saya perlu memilih kaedah, media dan bahan yang bersesuaian dengan kemahiran membaca perkataan kata adjektif. Pertama saya perlu memastikan kaedah yang digunakan mestilah bersesuaian dengan ciri-ciri murid, pengetahuan sedia ada, gaya pembelajaran serta objektif. Kedua, saya juga mesti melihat format media yang bersesuaian seperti gambar, foto, slad, audio serta video interaktif. Saya perlu mengambil kira kumpulan murid, keupayaan, objektif serta maklum balas dalam memilih format media yang bersesuaian. Ketiga, saya juga perlu melilih, mengubahsuai atau menghasilkan sumber pengajaran dan pembelajaran di mana bahan sumber adalah merujuk kepada isi muridan yang difokuskan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Bagi murid pemulihan, saya memilih kaedah pembelajaran masteri. Kaedah pengajaran ini memang sesuai dengan murid pemulihan. Melalui kaedah ini, saya akan  memastikan murid saya telah menguasai satu kemahiran, kemudian barulah saya akan memperkenalkan dengan kemahiran yang lain. Bagi murid yang tidak menguasai kemahiran kata adjektif, mereka akan mempelajari kemahiran tersebut sehingga berjaya menguasai. Sepanjang proses pengajaran, teknik latih tubi akan sentiasa diterapkan.

Kebiasanya, saya akan memilih media yang interaktif untuk murid pemulihan. Ini kerana murid pemulihan kurang berminat terhadap pelajaran kerana mereka tidak boleh menaakul. Oleh itu, saya biasa memilih media yang boleh merangsangkan pembelajaran seperti video, permainan atau aktiviti berasaskan teknologi.

Saya memilih bahan-bahan bantu belajar yang mudah digunakan oleh murid pemulihan seperti kad imbasan perkataan, kad cantuman kata adjektif. Kad tersebut disediakan berwarna warni dalam saiz yang berbeza serta tahan lama. Warna amat penting dalam menarik minat murid pemulihan untuk belajar dan warna yang terang akan dapat merangsan minda mereka. Saya menyediakan kad tersebut dalam kuantiti yang banyak supaya murid dapat mempelajari perkataan baru setiap hari sehingga mereka menguasai kemahiran tersebut.


4.         U-Utilize Media and Materials (menggunakan media dan bahan)
           
Persoalan yang penting dalam langkah ini ialah, bagaimana sesuatu media dan bahan sumber dapat dimanfaatkan oleh guru dan murid. Oleh itu, saya perlu menyemak, pratonton, mengkaji bahan sumber sebelum digunakan serta sesuai dengan persekitaran bilik darjah.
                       
Kad-kad cantuman perkataan dan kad imbasan yang dibekalkan dan dibina sendiri diletakkan di sudut yang mudah dicapai oleh murid. Secara tidak langsung, minat murid pemulihan untuk belajar sendiri terbina. Saya akan menggunakan media dan bahan dengan secara optimum. Media pengantar utama bagi murid pemulihan adalah laptop dan LCD. Pembelajaran secara interaktif berbantukan komputer dapat menarik minat murid pemulihan untuk mencuba perkara yang baru. Paparan slaid perkataan kata adjektif yang jelas, gambar yang mudah difahami serta berwarna-warni di samping penggunaan lagu dan nyanyian yang sesuai dapat meningkatkan tahap pembelajaran murid pemulihan.


5.         R-Require Learner Perticipation (memerlukan penglibatan murid)

Tidak dapat dinafikan murid orang asli mempunyai perasaan rendah diri dan tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Saya perlu merancang seuatu pembelajaran yang melibatkan murid orang asli secara aktif bagi menghasilkan perubahan tingkah laku yang diharapkan. Bagi saya penglibatan murid orang asli dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat penting.

Pemilihan media dan bahan sumber yang sesuai dapat membantu dan mengekalkan pemglibatan murid orang asli. Melalui penggunaan gambar, gambar bersiri, video, dan nyanyian dalam proses pengajaran dan pembellajaran. Ia dapat mencetuskan perbincangan kumpulan, penjanaan idea dan penglibatan murid orang asli secara aktif. Ini sekali gus memudahkan saya menilai tingkah laku dan pemahaman mereka terhadap pembelajaran dalam langkah seterusnya.

Selain daripada itu, saya juga merancang supaya semua murid terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan di mana setiap kumpulan akan mengedarkan kad cantuman suku kata kata adjektif yang berlainan. Setiap ahli dalam kumpulan mesti bekerjasama untuk membina perkataan kata adjektif yang bermakna iaitu hasil dari cantuman dua kad suku kata. Setiap kumpulan mesti membina 10 perkataan kata adjektif dan perkataan kata adjektif yang telah dibina akan ditulis di papan putih. Perkataan-perkataan yang dibina adalah berdasarkan pengalaman dan persekitaran murid orang asli.


6.         E-Evaluate and Revise (melakukan penilaian dan pengubahsuaian)

Dalam langkah  terakhir ini, saya perlu membuat penilaian dan pengubahsuaian berdasarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Peringkat ini penting dalam sesuatu langkah kerana untuk mendapatkan maklum balas dan penilaian yang dibuat oleh murid orang asli. Oleh itu, saya mengadakan satu sesi refleksi bersama-sama murid. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklum balas terhadap tahap penguasaan murid dalam pembelajaran yang baru dilakukan.

Dalam langkah ini, beberapa persoalan boleh digunakan untuk melihat penilaian dan seterusnya membuat pengubahsuaian. Antara persoalan yang boleh digunakan sebagai panduan adalah :
1.         Adakah objektif pengajaran saya pada hari ini tercapai?
2.         Adakah media dan bahan sumber yang saya gunakan dapat membantu murid menguasai kemahiran?
3.         Adakah murid dapat menguasai kehamiran asas membaca perkataan kata adjektif?
4.         Adakah bahan sumber yang saya gunakan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
5.         Adakah suasana pembelajaran yang terhasil selesa dan kondusif?

Soalan-soalan ini akan membantu saya mengenal pasti kelemahan dan kekuatan yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran dapat diubahsuai bagi pengajaran dan pembelajaran seterusnya.

Di penghujung sesi pengajaran, saya akan mengedarkan lembaran kerja yang berkaitan dengan perkataan kata adjektif dengan bimbingan guru. Antara aktiviti yang dijalankan dalam lembaran kerja tersebut adalah memadankan perkataan kata adjektif dengan gambar yang betul, murid menulis suku kata kata adjektif berdasarkan gambar yang diberi dan murid mewarnakan gambal yang betul berdasarkan suku kata kata adjektif yang diberi. Melalui aktiviti ini, saya dapat menilai sejauh mana objektif yang dirancang dapat dicapai. Ini juga membolehkan saya melihat tahap penguasaan murid terhadap kemahiran yang telah diterapkan.

Selain daripada senarai di atas, terdapat beberapa senarai lain yang boleh dijadikan garis penduan ketika menilai median, iaitu;
1.         Amat kreatif dan berkaitan dengan isu yang menarik minat murid;
2.         Menyokong pemikiran tinggi;
3.         Memperkembangkan kemahiran berfikir;
4.         Menyampaikan kandungan secara mendalam;
5.         Merangsang naluri ingin tahu murid;
6.         Murid dapat melibatkan diri secara aktif;
7.         Membolehkan penerokaan isu secara mendalam;
8.         Menghubungkait bidang muridan; dan
9.         Meningkatkan nilai murni.

Selain daripada menggunakan soal selidik dan senarai semak, penilaian terhadap media dan kaedah juga boleh dilakukan melalui:
1.         Perbincangan dengan kelas;
2.         Temubual dengan setiap murid; dan
3.         Pemerhatian.







KESIMPULAN

Tanpa perancangan yang lengkap dan sistematik, seseorang guru itu tidak akan dapat  mencapai kompetensi dalam penggajaran. Semua guru yang melaksanakan tugas mereka dengan jujur dan penuh  minat akan sentiasa memikirkan apa yang perlu dilakukan dan bagaimana mereka merancang untuk melaksanakannya. Justeru itu, Proses Pengajaran dan Pembelajaran perlu dirancang dengan teliti untuk memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran yang dirancang tercapai. Oleh yang demikian, Model Reka Bentuk Instruksional ASSURE  boleh digunakan untuk membantu guru merancang dan melaksanakan pengajaran dalam bilik darjah kerana hanya dengan perancangan pengajaran yang berkesan membolehkan murid memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap yang diharapkan disamping mewujudkan keyakinan, kepercayaan dan rasa hormat mereka terhadap guru sekaligus membantu membina disiplin yang positif melalui proses pengajaran yang sistematik dan menarik.

Perancangan mengajar merupakan susunatur pengajaran agar pembelajaran dapat berlaku secara berstruktur. Pembelajaran berlaku sebagai satu proses yang berkembang secara berperingkat (Yusup Hashim (2000). Justeru itu penyampaian pengajaran perlu disusun secara berperingkat-peringkat. Menurut Yusuf Hashim (1998), rancangan pengajaran yang berorentasikan bilik darjah tidak menggalakkan guru membina bahan pengajaran, sekadar hanya memilih bahan sahaja. Alasannya jelas; kerana ia menjimatkan masa. Namun, realiti masa kini menunjukkan jumlah bahan pengajaran  yang tersedia ada masih kecil, dan ini bermakna guru masih perlu menyediakannya sendiri. Dengan menggunakan Model ASSURE, ia dapat membantu guru merancangan pengajaran yang dapat memanfaatkan penggunaan media. Melalui Model ASSURE, ia memberi fokus kepada perancangan pengajaran pembelajaran berasaskan media dalam bilik darjah. Model ini dapat membantu guru merancangan pengajaran berasaskan media dalam bilik darjah masing-masing.

Dalam Model Reka Bentuk ASSURE ini, Analisis Murid sangat perlu jika sesuatu media hendak digunakan dengan berkesan kerana ia harus disesuaikan dengan ciri-ciri murid, pengetahuan perlu ada dan stail pembelajaran mereka sama ada dari kalangan murid auditori, visual atau kinestatik. Objektif pengajaran pula perlu dinyatakan dengan jelas dan harus difokuskan kepada pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baru untuk dimuridi dan ia merupakan tahap minimum yang perlu dicapai oleh murid daripada pengajaran yang dijalankan. Selain dari itu, kaedah pengajaran yang digunakan haruslah sesuai dan dipilih berkait rapat dengan objektif, kandungan pengajaran dan kumpulan sasaran atau murid kerana terdapat beberapa peringkat dalam pengajaran yang memerlukan beberapa kaedah yang berbeza sama ada secara kelas, berkumpulan atau individu. Pemilihan media pula harus bersesuaian dengan kaedah yang dipilih dan keperluan penggunaanya  dalam satu-satu pengajaran sama ada menggunakan media sedia ada, mengubah suai atau mereka bentuk media yang telah ditentukan. Selain dari itu, murid juga harus dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran seperti perbincangan, kuiz dan projek bagi memastikan proses pembelajaran berlaku. Bagi melihat keberkesanan rancangan pengajaran yang dibuat, penilaian perlu dilakukan sama ada sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran yang melibatkan aspek pencapaian murid dan pembelajaran yang dihasilkan seterusnya  keberkesanan media dan kaedah pengajaran yang digunakan.

Penjelasan di atas jelas menunjukkan bahawa Model Rekabentuk ASSURE mengandungi elemen-elemen penting yang boleh dijadikan satu panduan untuk merancang pengajaran agar matlamat utama yang diharapkan dari pengajaran tersebut dapat dicapai. Melaluinya juga guru dapat mengintegrasikan ketiga-tiga aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu yang perlu dilakukan secara berterusan untuk melahirkan murid yang berfikiran kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi seperti yang dikehendaki dalam Falsafah Pendidikan Negara












Bahan Rujukan
 
Heinich, R., Molenda, M. & Russell, J. (1982). Instructional Media And The New Technologies Of Instruction, New York:Macmillan.
Ismail Md Zain (1994). Keberkesanan reka bentuk pengajaran di kalangan murid sekolah menengah. Tesis Kedoktoran, Universiti Sains Malaysia.
Othman Jantan. 1999. Peranan dan Cabaran Pusat Sumber Sekolah di Alaf Baru. Johor :  PSPN.
R.M.W. Travers. (1994). Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rokiah Ismail. (1999). Bahan Pelbagai Media. Johor : PSPN.
Schramm. (1994). Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sharifah Alwiah Alsagoff. (1994). Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yusuf Hashim. (1997). Media Pengajaran Untuk Pendidikan dan Latihan. Shah Alam : Siri Pendidikan Fajar Bakti.
Yusup Hashim (2000). Konsep Dan Perkembangan Kurikulum Dan Instruksi. Kuala Lumpur: Utusan Publication.